APRIL 2023

Industri Perkayuan Tunjuk Tanda Pemulihan


KUCHING: Sarawak mencatatkan nilai eksport kayu dan produk perkayuan mencecah sekitar RM3.4 bilion tahun lalu.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, nilai eksport itu agak tinggi disebabkan bekalan kayu berkurangan dan ini menyebabkan harganya meningkat.

"Pasaran utamanya ke Jepun, Korea, India dan sebahagian negara Asean seperti Vietnam dan Filipina. Tidak banyak ke Eropah, Amerika Syarikat dan Australia," katanya selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sini.

Awang Tengah yang juga Pengerusi PUSAKA berkata, produk kayu dieksport Sarawak pula kebanyakan berbentuk venir dan papan lapis.

Katanya, penerimaan pemain industri untuk menerokai produk perkayuan bernilai tinggi dan menggunakan teknologi terkini, telah membolehkan industri perkayuan Sarawak mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama dengan perolehan eksport bernilai RM1 bilion.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sudah mengeluarkan lesen bagi penanaman hutan dengan pokok kayu atau buluh seluas  560,000 hektar di negeri ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti